suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tebuan asyik keluar masuk celah bumbung rumah? Jangan pandang ringan, mungkin ada ‘penghuni’ tersembunyi!

Kehadiran sarang tebuan boleh mengundang risiko terhadap penghuni rumah. -Gambar hiasan AI

KEHADIRAN tebuan di sekitar rumah mungkin kelihatan seperti perkara yang biasa.

Namun, anda perlu berwaspada jika tebuan dilihat kerap terbang ke lokasi tertentu seperti bahagian bawah bumbung, lubang pengudaraan loteng atau celah dinding.

Jika tebuan terus keluar masuk melalui lokasi sama, ia mungkin menjadi petanda terdapat sarang yang dibina di sekitar rumah anda.

Justeriu mengetahui faktor yang menarik tebuan ke kawasan kediaman dapat membantu pemilik rumah mengambil langkah pencegahan lebih awal.

Ini kerana kehadiran koloni tebuan dalam jumlah yang banyak boleh meningkatkan risiko sengatan, terutama kepada kanak-kanak, haiwan peliharaan dan penghuni rumah itu sendiri.

Jadi, apakah punca tebuan masuk ke rumah dan membuat sarang?

1. Makanan manis

Makanan dan minuman manis merupakan antara faktor yang boleh menarik tebuan datang.

Tin minuman berkarbonat, jus buah, jem, buah yang sudah masak atau gugur ke tanah serta lebihan pencuci mulut yang dibiarkan terbuka boleh menarik kehadiran tebuan.

Kehadiran tebuan biasanya lebih mudah dilihat ketika aktiviti makan di luar rumah seperti parti, majlis keluarga atau barbeku.

Kanak-kanak berisiko disengat tebuan. -Gambar hiasan AI

Tong sampah yang mengandungi lebihan buah-buahan juga boleh menjadi sumber makanan kepada tebuan.

Makanan tersebut tidak semestinya menjadi punca tebuan membuat sarang di rumah.

Namun, kewujudan sumber makanan boleh menyebabkan tebuan lebih kerap berada di sekitar rumah sehingga sarang yang sebelum ini tersembunyi menjadi lebih mudah dikesan.

2. Sisa makanan yang mengandungi protein

Selain makanan manis, tebuan juga memerlukan protein, terutama pada awal musim apabila koloni sedang berkembang dan larva memerlukan makanan.

Lebihan daging, makanan haiwan peliharaan, sisa ikan serta tong sampah yang penuh boleh menarik tebuan.

Kawasan penyediaan makanan dan tempat pengumpulan sampah yang tidak diuruskan dengan baik boleh menjadi lokasi tebuan mencari makanan secara berulang.

Tong sampah untuk bahan kitar semula juga tidak boleh diabaikan. Sisa minuman atau makanan yang masih melekat pada botol, tin dan bekas makanan boleh menarik tebuan.

Menjaga kebersihan rumah boleh mengurangkan risiko kehadiran haiwan berbisa. -Gambar hiasan AI

Membilas bekas sebelum memasukkannya ke dalam tong kitar semula serta memastikan tong sampah ditutup rapat dapat membantu mengurangkan sumber makanan untuk tebuan.

3. Terdapat sumber air di sekitar rumah

Air juga boleh menjadikan kawasan sekitar lebih menarik kepada tebuan, terutama ketika cuaca panas, sekali gus menjadi salah satu faktor yang mendorong ia berada di sekitar rumah.

Kelembapan di sekitar longkang atau saluran air hujan yang tersumbat, paip rosak atau bahagian rumah yang mengalami pemeluwapan juga boleh menarik perhatian tebuan.

Air tidak semestinya menjadi punca utama pembentukan sarang. Namun, menghapuskan kawasan bertakung dan membaiki kebocoran boleh menjadikan persekitaran rumah kurang menarik kepada tebuan.

4. Tanaman berbunga dan pokok buah

Rumah yang mempunyai banyak tanaman berbunga atau pokok buah juga boleh menjadi lokasi tebuan mencari makanan.

Pokok yang menghasilkan buah turut menjadi salah satu faktor tebuan datang ke rumah.

Tebuan menggunakan nektar sebagai sumber makanan dan memburu serangga lain bagi memenuhi keperluan koloni.

Oleh itu, kehadiran tebuan di taman tidak semestinya sesuatu yang buruk. 

Dalam keadaan tertentu, tebuan sebenarnya boleh membantu mengawal populasi serangga lain.

Pemilik rumah tidak perlu membuang semua tanaman berbunga semata-mata untuk menghalau tebuan.

Sebagai langkah pencegahan, buah yang gugur ke tanah sebaiknya segera dibersihkan. 

Tanaman yang terlalu rimbun berhampiran pintu masuk juga boleh dipangkas jika sesuai.

Artikel Lain